3.07.2009

TAMADUN DAN SENI BINA


DALAM kerancakan Malaysia membangunkan tamadunnya, Malaysia tidak pernah lupa kepada tamadun masa silam. Banyak perkara yang dipelajari daripada sesuatu tamadun.

Sebagai contoh apabila kita membaca tentang Tamadun China kita mungkin akan bertemu dengan sejarah kemunculan simbol Yin dan Yang. Tetapi tidak semua orang membaca Sejarah China, dan kalau membaca pun mereka tidak pernah terbaca tentang simbol itu.

Tetapi hampir semua orang mengenali Tamadun China melalui Tembok Besar yang dibina oleh Shih Huang Ti dan raja-raja sebelumnya yang disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia.

Tembok Besar itulah yang menyebabkan tamaddun China dikenali dari dahulu hingga sekarang. Ia diketahui bukan sahaja oleh orang-orang berilmu, tetapi juga oleh orang-orang yang tidak berpendidikan. Itulah besarnya pengaruh seni bina, monumen dan binaan dalam sesuatu tamadun.

Setinggi manapun tamadun, ia tetap akan mebangunkan seni bina yang unik, terbesar, tertinggi atau terunggul untuk tinggalan kepada generasi berikutnya. Di sinilah sejarah sesuatu tamadun itu dikenang dan menjadi lebih ceria.

Sebab itu belajar dari sejarah tamadun awal ini salahkah Malaysia yang sedang membina tamadunnya yang unggul, mendirikan bangunan yang tertinggi, tercantik, tercanggih dan terhebat pada abad ini seperti yang dapat dilihat melalui KLIA, Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan lain-lain.

Kita harus ingat bahawa sesuatu tamadun dikenang melalui seni bina atau bangunannya. Mana ada suatu tamadun dalam dunia ini yang tidak membina bangunan atau binaan ketika mereka berkuasa. Sebabnya itulah yang akan ditinggalkan dan dilihat oleh generasi berikutnya.

Kita selalunya lebih mengenang benda-benda yang boleh kita lihat daripada benda-benda yang kita baca. Inilah sebabnya mengapa setiap tamadun dan kerajaan akan membina bangunan.
Kalau ini sudah dilakukan oleh kebanyakan tamadun sebelum ini, salahkah kita melakukannya.

Setinggi manapun tamadun yang kita bina, dan sekeras manapun suara kita untuk membuktikan kejayaan-kejayaan kita, orang kemudian tidak akan menilainya, jika mereka tidak dapat melihatnya. Dan untuk melihatnya, kita harus mengadakannya, bukan hanya bercakap tentangnya. Inilah formula Malaysia untuk menjadikan negara ini terkenal di seluruh dunia dan dikenang oleh generasi berikutnya.

Kita harus tinggalkan sesuatu yang dapat dilihat selain sesuatu yang boleh dibaca. Sebabnya tidak semua orang yang mengetahui perkembangan sesuatu tamadun itu melalui pembacaan, tetapi jika mereka melihat sesuatu binaan, itu sudah mencukupi buat mereka mengenali sesuatu tamadun. Inilah asas Malaysia apabila ia membina bangunan yang terbesar, tercanggih dan tercantik.

Mungkin orang menyatakan bangunan-bangunan itu cukup besar untuk sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Saya ingin bertanya kepada mereka yang selalu mempertikaikan usaha ini, apakah jika mereka menjadi pemimpin mereka akan membina yang terkecil untuk ditinggalkan kepada generasi yang akan datang dan mengharapkan yang usaha mereka itu akan dikenang?

Mungkin mereka boleh bina jambatan terkecil, masjid terkecil, menara terkecil, lapangan terbang terkecil, lalu mereka mengharapkan orang akan mengenang sesuatu yang terkecil yang mereka bangunkan untuk negara?

Ketika tamadun awal sudah membina sesuatu yang terbesar, terbaik dan terhebat untuk dikenang, mengapa kita pada zaman moden yang mempunyai berjuta-juta keupayaan untuk melakukannya memilih yang kecil-kecil untuk dibangunkan. Tidakkah kita tahu bahawa bangunan paling besar yang kita bina sekarang ini pun tidak mampu mengalahkan tujuh benda ajaib di dunia, apatah lagi kalau sesuatu yang dibina itu terkecil dan sebagainya.

Adakah anda yakin bangunan yang terbesar yang kita bina sekarang akan mampu bertahan seperti kedudukannya yang ada sekarang 10 atau 20 tahun lagi? Itulah sebabnya negara kita membangunkan sesuatu kemudahan yang terbaik dan bersifat futuristik supaya kejayaan kita tidak cepat dilupakan dan pudar ditelan zaman.

1 comment:

  1. hello...nak tanya sikit..
    nak tanya cemner nak pilih aliran arkitek kat u???

    ReplyDelete